SUBANG JAYA: Lima individu yang ditembak mati di kawasan Putra Heights awal pagi Sabtu dikenal pasti sebagai kumpulan penjenayah kejam dan terlibat dalam 50 kes jenayah samun di beberapa kawasan sejak 2022.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kumpulan terbabit didapati sering mencederakan mangsa ketika melakukan kegiatan samun.



Hussein dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian

Beliau berkata, berdasarkan rekod suspek pernah menetak mangsa ketika melakukan rompakan.

"Siasatan mendapati kumpulan ini menyasarkan premis syarikat penghantar barang bagi mencuri peti keselamatan yang mengandungi wang tunai kedai serta rumah.

"Antara lokasi dipercayai menjadi sasaran mereka untuk melakukan jenayah samun adalah Klang, Puchong, Bukit Jalil, Cheras dan beberapa kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Sabtu.

Katanya, kelima suspek yang ditembak mati itu merupakan warga tempatan berumur sekitar 30-an.



Hussein (kiri) menunjukkan antara senjata dan peralatan yang digunakan suspek yang ditembak mati di Persiaran Harmoni, Putra Heights pada awal pagi Sabtu. - Foto Sinar Harian

"Semakan mendapati lima suspek ini memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Selain itu, pemeriksaan dijalankan turut menemukan dua pucuk pistol, parang serta pelbagai peralatan untuk tujuan samun dan pecah rumah," katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kumpulan penjenayah terbabit.

"Berkaitan rompakan melibatkan peti keselamatan di premis milik syarikat penghantar barang, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada individu bertindak sebagai dalang kepada kegiatan jenayah ini.



Kenderaan dinaiki lima suspek sebelum ditembak mati di Persiaran Harmoni, Putra Heights pada awal pagi Sabtu. - Foto Sinar Harian

"Siasatan merangkumi setiap sudut berkaitan kes ini masih dijalankan secara lanjut," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.02 pagi itu, polis menembak mati lima penjenayah di Persiaran Harmoni, Putra Heights, di sini.

Kesemua suspek sebelum itu menaiki sebuah kereta Perodua Axia, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Kereta dinaiki mereka kemudiannya ditahan bagaimanapun kesemua suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pihak polis sebelum ditembak mati dalam kejadian.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian